KHASIAT AVOCADO UNTUK KESIHATAN

KHASIAT AVOCADO UNTUK KESIHATAN

Tahukah anda khasiat avocado untuk kesihatan? terdapat satu buah yang dianggap unik kerana berbanding karbohidrat, ia lebih kaya dengan kandungan lemak ‘baik’? Buah tersebut ialah avokado, atau secara saintifiknya dikenali sebagai Persea Americana. Berasal dari Mexico dan Amerika tengah, avokado berbentuk bujur, isinya berwarna kuning cair dengan biji besar di tengah, juga dikenali sebagai buah pokat.

Berikut Adalah Khasiat Avocado kepada Kesihatan

  1. Membantu mengawal tekanan darah tinggi

Antara buah yang dikenali kerana mengandungi nilai kalium (garam potassium) yang tinggi ialah pisang. Tetapi, sebiji avokado sebenarnya mempunyai kandungan kalium yang lebih tinggi berbanding pisang.

Selain membantu mengekalkan keseimbangan elektrolit dalam badan, kalium juga berpotensi membantu mengurangkan tekanan darah tinggi. Perkara ini mencegah serangan jantung, strok, dan kegagalan buah pinggang.

  1. Membantu meningkatkan kesihatan jantung

Di awal artikel ini, avokado disebut sebagai buah yang unik kerana mengandungi nilai lemak yang tinggi (77% kalori avokado disumbang oleh lemak). Tambahan pula, kandungan lemak dalam buah avokado terdiri daripada jenis lemak tidak tepu seperti omega-3 dan 9.

Sumber lemak tidak tepu seperti minyak zaitun, kacang tanah, bijan, serta avokado berpotensi mencegah dan mengurangkan keradangan dalam tubuh. Apabila sumber lemak tepu (contoh: mentega, kulit ayam, lemak daging, makanan bergoreng, santan) dan lemak trans (contoh: marjerin, makanan ringan, produk bakeri) digantikan dengan lemak tidak tepu dalam kuantiti sederhana, ia mampu mendatangkan beberapa kebaikan seperti:

  • Meningkatkan tahap kolesterol baik
  • Menurunkan kolesterol jahat
  • Merendahkan risiko penyakit kardiovaskular (sakit jantung, strok)
  • Di samping itu, diet yang dibekalkan dengan sumber asid lemak omega-3 didapati mengurangkan kesakitan otot selepas bersenam.
  1. Tinggi kandungan serat

Berdasarkan American Heart Association, kita disarankan untuk mengambil 25 hingga 30 gram serat dalam sehari. Sebiji avokado dengan berat lebih kurang 160 gram sudah mampu membekalkan 9.3 gram serat, iaitu kira-kira 37% daripada jumlah saranan minimum!

Avokado mengandungi kedua-dua serat larut dan tidak larut yang masing-masing memberikan manfaat kepada kesihatan tubuh badan. Sebagai contoh, serat larut mampu merendahkan tahap kolesterol jahat, mengawal kenaikan gula dalam darah, serta membantu merawat cirit-birit. Serat tidak larut pula mampu memberi rasa kenyang yang lebih lama lalu membantu kawalan berat badan di samping mencegah sembelit.

  1. Meningkatkan penyerapan antioksida

Sumber lemak ‘baik’ seperti yang terkandung dalam sebiji avokado mampu membantu penyerapan vitamin A, D, E, dan K yang larut lemak. Lemak baik ini bertindak dengan mengangkut vitamin larut lemak serta antisoksidan seperti karotenoid supaya dapat diserap daripada sistem penghadaman ke dalam darah dan sel.

Satu kajian menunjukkan avokado atau minyak avokado yang ditambah ke dalam salad mampu meningkatkan penyerapan antioksidan sehingga 2.6 ke 15 kali ganda! Ini menunjukkan avokado bukan hanya kaya dengan kandungan nutrien bermanfaat, malah membantu penyerapan komponen berkhasiat daripada makanan lain.

  1. Meningkatkan kesihatan mata

Mata adalah anugerah yang tidak ternilai harganya. Tanpa daya penglihatan, kehidupan manusia akan menjadi sedikit pincang. Kesihatan mata banyak dipengaruhi oleh antioksidan seperti karotenoid.

Selain membantu penyerapan antioksidan daripada makanan lain, avokado sendiri turut mengandungi antioksidan dalam jumlah yang tinggi. Kajian menunjukkan pengambilan avokado mampu mengurangkan risiko katarak dan degenerasi makula, yang sering berlaku dalam kalangan warga emas.

  1. Berpotensi mencegah kanser

Kajian tabung uji menunjukkan kebarangkalian avokado dapat membantu mengurangkan kesan sampingan rawatan kemoterapi dalam sel darah putih. Ekstrak avokado juga didapati membantutkan tumbesaran sel kanser prostat di dalam makmal. Namun begitu, kajian-kajian tersebut dijalankan di dalam sel terosilasi (isolated cells). Kajian berdasarkan tubuh badan manusia masih belum dijalankan.

  1. Mengurangkan simptom artritis

Artritis adalah masalah kesihatan yang menyebabkan kesakitan, kemerahan, bengkak, dan kekejangan sendi. Beberapa kajian menunjukkan bahawa avokado bersama ekstrak minyak kacang soya dapat mengurangkan simptom osteroartritis. Namun, khasiat ini belum dapat dipastikan untuk avokado tanpa ekstrak kacang soya tersebut.

  1. Membantu mengawal simptom kemurungan

Avokado kaya dengan kandungan folat (vitamin B9). Kajian menunjukkan bahawa tahap folat yang rendah dalam badan berkait rapat dengan kemurungan. Ini kerana, folat membantu mencegah pengumpulan homosistein di dalam darah. Homosistein ialah asid amino yang menyebabkan bekalan nutrien kepada otak berkurangan lalu meningkatkan simptom kemurungan.

BACA JUGA :

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top